Thursday, August 11, 2011

KL takde ke??

Petikan diambil dari Utusan Online hari ni.

Empat negeri umum bayar bonus raya


KUALA LUMPUR 10 Ogos – Kerajaan negeri Terengganu, Pahang, Perak dan Kelantan turut mengumumkan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada semua penjawat awam sempena Aidilfitri.

Pemberian bonus tersebut dibuat sejajar dengan langkah kerajaan Pusat yang turut memberi bonus setengah bulan gaji seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pemberian sagu hati raya itu membabitkan peruntukan kira-kira RM12 juta dan ia dijangka mula dibayar serentak dengan gaji bulan ini.

“Selain 8,000 penjawat awam, kira-kira 8,000 kakitangan di badan-badan berkanun seperti pihak berkuasa tempatan, majlis-majlis daerah serta yayasan-yayasan di negeri ini juga akan diberikan bonus,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman.

Di Pahang, Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, keputusan untuk memberikan bonus tersebut dibuat bagi mengikut langkah kerajaan Pusat yang akan membayar bonus raya kepada kakitangannya nanti.

“Kerajaan negeri akan membayar bonus seperti yang dibayar oleh kerajaan Persekutuan dan saya ingin tegaskan bahawa ini bukan satu pembaziran seperti dakwaan sesetengah pihak,” katanya.

Sementara itu di Perak, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pula berkata, pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan negeri itu akan melibatkan perbelanjaan RM6.5 juta.

“Kerajaan negeri menyambut baik keputusan Perdana Menteri memberi bonus dan bayaran khas kepada pegawai serta anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri akan mengikut langkah Kerajaan Persekutuan memberi bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 bagi kakitangan awam dan RM500 bagi setiap pesara menjelang Aidilfitri ini.

No comments:

Post a Comment